LONDON: Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas menafikan dakwaan cuba mempengaruhi pengadil dengan membuat bantahan kepada Mike Riley mengenai cara pengadilan ketika pasukan itu tewas di tangan Manchester United dalam saingan Liga Perdana.

Villas-Boas masih tenang biarpun tewas kali pertama sejak membimbing Blues yang juga kekalahan pertamanya pada saingan liga sejak 17 bulan lalu.


Chelsea ketinggalan 0-2 di Old Trafford, Ahad lalu tapi ulang tayang video menunjukkan gol itu sepatutnya tidak disahkan kerana ofsaid, sekali gus membolehkan United menang 3-1.


Beliau mendedahkan menghubungi ketua pengadil, Riley mengenai insiden itu termasuk keputusan menghadiahkan sepakan penalti kepada United.


“Tiada apa berubah mengenai pengadil dan saya bukannya cuba mempengaruhi keputusan, sekadar menjelaskan mengenai situasi sebenar yang berlaku kerana keputusan itu amat penting.” Villas-Boas juga menegaskan tidak meminta Phil Dowd yang mengadili perlawanan, Ahad lalu idak mengadili perlawanan membabitkan Chelsea pada masa akan datang.


“Saya tidak sesekali berbuat begitu,” katanya.



“Sukan seperti juga manusia, banyak emosi dan saya rasa pengadil ada banyak peranan yang boleh dimainkan.” - Agensi