MILAN: Inter Milan memecat jurulatihnya, Gian Piero Gasperini semalam selepas beliau hanya mampu melakar satu seri dan empat kekalahan dalam lima perlawanan kompetitif pertamanya di kelab gergasi Serie A itu.

Beliau semakin tertekan selepas tewas 1-3 awal pagi semalam di tangan kelab pendatang baru Serie A, Novara, yang sebelumnya gagal mencatat kemenangan dalam dua perlawanan liga musim ini.


“Kelab ini mengucapkan terima kasih kepada Gian Piero Gasperini kerana kerja kerasnya melatih pasukan dan melahirkan rasa kesal kerana terpaksa menamatkan khidmatnya,” kata Inter dalam satu kenyataan di laman web rasmi kelab (F.C. Internazionale Milano - Sito Ufficiale).


Inter berkata, Daniele Bernazzani dan Giuseppe Baresi mengambil alih tugas melatih pasukan pagi semalam.


Gasperini, 53, adalah jurulatih ketiga meninggalkan Inter sejak pemergian Jose Mourinho berikutan kejayaan memenangi tiga trofi pada musim 2009-10, kelab itu turut memecat Rafael Benitez dan Leonardo.


Agensi berita Ansa menyenaraikan Claudio Ranieri sebagai pilihan utama untuk menggantikannya diikuti Luis Figo, Delio Rossi dan Walter Zenga.



Gasperini sebelumnya hanya berkhidmat empat musim bersama Genoa, mengemudi mereka keluar dari Serie B dan mengubah kelab itu menjadi sebuah pasukan paling kompetitif di liga utama.


Bagaimanapun, apabila beliau dilantik di Inter, banyak pihak mempersoalkan hakikat beliau tidak pernah melatih mana-mana kelab terkenal.


Terdahulu, Riccardo Meggiorini meletakkan tuan rumah Novara di depan pada babak pertama sebelum Marco Rioggi menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit terakhir apabila Novara menang kali pertama sejak kembali ke Serie A selepas penantian 55 tahun.


Esteban Cambiasso menjaringkan gol tunggal Inter ketika kapten, Javier Zanetti melakukan rekod penampilan kelab sebanyak 757 perlawanan. - Reuters