MADRID: Jaringan Giuseppe Rossi membantu Villarreal mencatat kemenangan pertama La Liga musim ini apabila menewaskan Mallorca, 2-0 awal pagi semalam dan akhirnya mendapat rentak selepas permulaan musim yang hambar.

Villarreal hanya meraih satu mata sebelum pertemuan itu selain tewas di tangan Bayern Munich di laman sendiri pada aksi Liga Juara-Juara namun mereka bangkit ketika menentang Mallorca dengan persembahan lebih meyakinkan.


Nilmar mendapat peluang untuk menjaringkan gol pada minit pertama namun dia mensia-siakannya dan beberapa minit kemudian Rossi lebih krinikal apabila dia meledak gol mengatasi penjaga gol lawan, Dudu Aouate untuk membolehkan tuah rumah mendahului.


Villarreal menguasai perlawanan dengan Mallorca kental bertahan. Rembatan Ruben Cani diselamatkan Aouate sebelum separuh masa pertama tamat dan selepas rehat cubaan Nilmar menerjah tepi jaring selepas mendapat umpanan Borja Valero.


Pada perlawanan lain, Sevilla terlepas peluang untuk berada di puncak liga buat sementara namun mengekalkan rekod tanpa kalah apabila terikat tanpa jaringan dengan Osasuna.


Tuan rumah ingin membuktikan sesuatu selepas dibelasah Barcelona 0-8 hujung minggu lalu dan menyerang sejak awal dengan Ronald Lamah memberikan banyak masalah kepada Sevilla yang mengintai peluang musim ini untuk ke Liga Juara-Juara.



Berbanding aksi di Nou Camp Sabtu lalu, mereka mempamerkan persembahan berbeza namun tidak memperoleh ganjaran daripada persembahan menyerang yang dipamerkan.


Juan Nino mendapat peluang baik pada kedua-dua babak manakala Sevilla turut terselamat daripada tuntutan penalti selepas Diego Perotti kelihatan memegang bola dalam kotak penalti. - AFP