MADRID: Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho menuduh media tidak adil apabila menghentam kelabnya kerana insiden pergaduhan sebaliknya memuji skuad kebangsaan Sepanyol kerana melakukan perkara sama.

Mourinho masih merasai kepedihan selepas tewas mengejut 0-1 di tangan Levante Ahad lalu dengan berkata beliau tidak mahu terus memperkatakan mengenai kekalahan itu.


Jurulatih berbangsa Portugis itu menyalahkan Sami Khedira sepenuhnya kerana dilayangkan kad kuning kedua berikutan insiden tolak-menolak di atas padang menyebabkan skuadnya terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh yang panjang.


Namun beliau sudah memaafkan Khedira pada sidang media sehari sebelum bertemu Racing Santander di Stadium Sardinero.


“Saya tidak pasti apa yang dilakukan Khedira boleh dipanggil sebagai pergaduhan. Pada saya ia tidak sama sekali,” katanya.


“Pergaduhan berlaku ketika perlawanan Sepanyol menentang Chile dan anda mengatakan ia sungguh hebat, sukar dipercayai, ia menunjukkan semangat satu pasukan, ia menunjukkan karakter yang hebat dan pemain seperti adik-beradik.



“Real Madrid melakukannya dan kami dianggap seperti sekumpulan samseng.” Pada 2 September lalu, pemain Chile yang berang mencetuskan pertengkaran ketika wisel penamat di St Gallen, Switzerland selepas Sepanyol bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Chile 3-2 dalam satu aksi persahabatan. - AFP