AKSINYA berjaya memikat pengurus Cardiff City, Malky Mackay, namun penyerang sensasi Mohd Safee Sali terpaksa menerima hakikat betapa tidak ada apa yang mampu dilakukannya apabila masalah permit kerja tetap menjadi penghalang untuk mendapat tempat bersama kelab Liga Kejuaraan itu.

Pengurus Safee, Zakaria Ab Rahim berkata, walaupun sedar dengan kekangan dihadapinya, Safee tetap bersemangat untuk terus mencari peluang serta menimba pengalaman sebanyak mungkin dalam sesi ujian pemilihan berakhir Isnin ini.


“Safee mendapat perhatian MacKay, namun masalah permit kerja menjejaskan sedikit minat pengurus ini. Menurut laporan akhbar di Wales, Selasa lalu, MacKay mengaku puas hati dengan Safee dan berminat dengannya tapi beliau tidak mahu bersusah payah dengan masalah luaran seperti urusan permit kerja memandangkan beliau mempunyai pilihan pemain lain.


“Safee berasa jika pasukan kebangsaan menduduki ranking lebih baik sudah pasti laluannya lebih mudah untuk mendapat tawaran bermain di sana. “Bagaimanapun Safee tetap mahu terus mencuba dan gembira menjalani latihan bersama Cardiff City,” katanya yang hanya berhubung dengan Safee menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).


Safee memulakan misi menjadi pemain Malaysia pertama beraksi dalam kancah bola sepak Inggeris apabila mula menjalani ujian pemilihan Isnin lalu selama dua minggu bersama kelab Bluebirds itu.


Bagaimanapun pemain Pelita Jaya FC dari Indonesia itu terikat dengan syarat ketat yang dikenakan ke atas pemain bukan Eropah dan permit kerja hanya diberikan kepada pemain beraksi sekurang-kurangnya 75 peratus daripada perlawanan berstatus A bersama skuad kebangsaan.



Lebih menyukarkan apabila hanya pemain dari negara yang menduduki kelompok 70 pasukan terbaik ranking dunia Fifa dalam tempoh dua tahun lalu layak mendapat permit kerja sedangkan Malaysia ketika ini menduduki tangga ke-146 dan gagal menempatkan diri dalam kedudukan 100 pasukan terbaik sejak 1997.


Jika seseorang pemain itu gagal memenuhi kriteria itu, kelab yang berminat masih boleh merayu jika mereka percaya pemain itu mempunyai bakat istimewa dan berupaya menyumbang kepada peningkatan permainan di United Kingdom.


Zakaria berkata, beliau belum dapat mengesahkan bilakah keputusan ujian pemilihan itu akan diumum.


“Ujian pemilihan Safee berakhir 26 September ini tapi saya tidak tahu adakah keputusan ujian itu akan dikeluarkan serta merta ataupun diketahui kemudian,” katanya.