ISU yang dihadapi penyerang Safee Sali berhubung permit kerja untuk bermain di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Cardiff City dikatakan berpunca daripada tindakan kelab itu yang tidak merujuk isu berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata badan induk itu sedar isu berkenaan akan timbul sekiranya Safee yang kini menjalani latihan selama dua minggu bersama Cardiff City berhasrat untuk terus menyarung jersi kelab itu.


Menurutnya, pemilik Cardiff City dari Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee perlu bertanggungjawab mengenai isu permit kerja pemain sensasi itu selepas pihak imigresen di United Kingdom enggan mengeluarkan permit kepada pemain itu.


“Isu ini sepatutnya dijawab sendiri pemilik Cardiff City. Mereka tidak merujuk dengan sekretariat FAM berhubung isu tersebut sehingga saat-saat terakhir sebelum Safee berlepas ke London (pada 11 September lalu),” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama, semalam.


Penyerang sensasi Malaysia itu kini dikatakan menghadapi masalah mendapatkan permit kerja untuk bermain dengan Cardiff City berikutan pihak imigresen di United Kingdom mensyaratkan pemain yang mahu bermain dengan kelab di negara itu mestilah datangnya dari negara di ranking 70 terbaik dunia.