LONDON: Penyerang England, Wayne Rooney dijangka terpaksa diketepikan untuk tempoh beberapa minggu selepas mengalami kecederaan hamstring ketika latihan, jelas pengurus Manchester United, Alex Ferguson selepas menyaksikan pasukannya seri 1-1 menentang Stoke City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris semalam.

Rooney, 25, yang memulakan kempen musim ini dengan prestasi hebat dengan menjaringkan sembilan gol, tidak dapat diturunkan pada perlawanan semalam apabila United buat kali pertama keciciran mata namun kekal di tangga teratas Liga Perdana menerusi perbezaan gol dengan Manchester City.


Ferguson berkata kepada pemberita: “Rooney tidak mengalami kecederaan serius, tapi dia tidak boleh beraksi hari ini (semalam) dan saya fikir mungkin untuk beberapa minggu.” Jika situasi itu tidak dapat dielakkan, Rooney akan terlepas perlawanan Liga Juara-Juara menentang Basel di Old Trafford Rabu ini dan perlawanan kelayakan Euro 2012 bersama England bertemu Montenegro pada 7 Oktober depan.


Dia juga mungkin terpaksa diketepikan bagi perlawanan liga United menentang Norwich City dan Liverpool dan juga mungkin perlawanan setempat dengan Manchester City pada 23 Oktober serta aksi Liga Juara-Juara bertemu Otelul Galati dari Romania pada 18 Oktober.


Selain Rooney, United juga berdepan masalah kecederaan membabitkan pemain pertahanan, Jonny Evans yang mengalami kecederaan kaki ketika sesi memanaskan badan di Stoke manakala penyerang Mexico, Javier Hernandez dikeluarkan pada awal permainan selepas berlanggar dengan pemain pertahanan Stoke, Jonathan Woodgate.


Sementara itu, United kehilangan mata dalam kempen Liga Perdana musim ini selepas gol pertama Peter Crouch untuk Stoke mengikat kedudukan 1-1 di Britannia Stadium.



United dilihat berada dalam landasan terbaik untuk mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus musim ini dan mendahului dua mata di tangga teratas liga selepas pemain sayap Portugal, Nani meletakkan mereka di depan pada minit ke-27.


Namun bekas penyerang Tottenham, Crouch melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan penjuru pada minit ke-52 untuk membolehkan Stoke meraih mata pertama.


Keputusan itu menyebabkan United hanya menerajui liga menerusi kelebihan jaringan mengatasi musuh tradisi, Manchester City dengan kedua-dua kelab mengumpul 16 mata selepas enam perlawanan.


Dalam perlawanan awal, Manchester City terus memberi tekanan dalam persaingan di puncak liga selepas jaringan babak kedua daripada pemain gantian Mario Balotelli dan James Milner menghadiahkan kemenangan 2-0 ke atas Everton di Eastlands. - AFP