LIVERPOOL: Kenny Dalglish percaya Luis Suarez dan Andy Carroll akan membentuk gandingan mantap ketika mengharungi perlawanan penting yang bakal menjadi penentu cabaran Liverpool musim ini.

Liverpool bakal berdepan musuh setempat Everton dan Manchester United manakala mereka juga meneruskan kempen Piala Liga pada pusingan keempat di Stoke bulan depan.


Kehadiran semula Steven Gerrard yang diturunkan dalam perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers Sabtu lalu selepas sembuh daripada kecederaan menyuntik kembali semangat pengurus Liverpool, Dalglish berikutan kekalahan dua kali berturut-turut liga.


Namun faktor utama yang bakal memberi keyakinan kepada Dalglish dan peminat di Anfield sebenarnya adalah prestasi memuncak Suarez serta gandingannya bersama penyerang bernilai �35 juta pound (RM171 juta), Carroll.


Walaupun kehebatan pasangan itu masih terlalu awal untuk dibandingkan dengan Kevin Keegan dan John Toshack yang memberikan igauan ngeri buat pertahanan lawan ketika bersama selama enam tahun pada 1970-an, namun kombinasi Suarez-Carroll sudah mula memberi petanda positif.


“saya tidak fikir mereka sudah sudah beraksi bersama dalam banyak perlawanan sebelum ini,” kata Dalglish. “Ianya pasti menarik melihat kedua-dua pemain itu bermain tapi mereka masih baru.



“Suarez mempamerkan aksi hebat sejak menyertai kelab ini. Kami bernasib baik kerana memilikinya dan kami berharap dia akan kekal di sini dalam tempoh yang lama.


“Sama juga dengan Carroll. Dia melakukan yang terbaik namun gagal menjaringkan gol menentang Wolves.


“Tidak ada apa yang kami mahukan lagi daripadanya. Saya gembira dengan prestasinya. Kami bermain dengan baik dan tewas beberapa minggu kebelakangan ini namun akhirnya berjaya mencatat kemenangan.


“Pastinya kami gembira Gerrard kembali beraksi. Dia mendapat sambutan hebat daripada peminat dan itulah anda boleh harapkan jika menjadi pemain sepertinya.” - AFP