MADRID: Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo kedua-duanya meledak hatrik ketika Barcelona dan Real Madrid melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing kelmarin sekali gus memadam aksi kurang meyakinkan persembahan kedua-dua pasukan pada pertengahan minggu lalu.

Sensasi Argentina, Messi mencipta hatrik buat kali ke-12 sepanjang menyarung jersi Barcelona yang mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas Atletico Madrid sekali gus menyaksikan juara bertahan itu naik ke tangga kedua liga dengan ketinggalan satu gol di belakang Real Betis.


Messi yang turut meledak hatrik ketika pasukannya mencatatkan kemenangan besar 8-0 ke atas Sporting Gijon minggu lalu, setakat ini muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol, lebih satu gol berbanding Ronaldo yang mencipta hatrik ketika pasukannya menewaskan Rayo Vallecano 6-2.


Real kini menduduki tangga keempat liga, satu mata di belakang Barcelona serta Sevilla yang menduduki tangga ketiga.


David Villa membuka jaringan pada minit ke-9 dengan gol kedua menyusul pada minit ke-15 hasil gerakan cantik satu dua Villa bersama Messi sebelum tendangan Messi terkena Miranda yang kemudian masuk ke gawang sendiri. Selepas 26 minit perlawanan berlangsung, Messi meledak gol pertama apabila berjaya memasuki kawasan penalti dari gerakan sebelah kanan sebelum menewaskan penjaga gol lawan, Thibaut Courtois menerusi tendangan rendah kaki kirinya.


Messi menjaringkan gol kedua minit ke-78 menerusi rembatan deras ke penjuru bawah kanan gawang lawan sebelum meledak gol kelima untuk Barcelona pada minit ke-90 hasil gerakan satu dua dengan Villa sebelum merembat deras memasuki gawang lawan.



Real Madrid yang tewas di Levante pada minggu lalu sebelum seri tanpa jaringan bertemu Racing Santander pertengahan minggu lalu, membelasah Rayo Vallecano 6-2 di sebalik beraksi dengan hanya 10 pemain hampir keseluruhan babak kedua.


Jaringan Ronaldo termasuk dua sepakan penalti sementara gol lain disumbang oleh Gonzalo Higuain, Karim Benzema dan Rafael Varane.


Mourinho berkata, ia adalah satu keputusan sukar apabila terpaksa mengetepikan Diarra.


“Ia adalah satu keputusan sukar untuk saya tetapi pasukan mahukannya,” kata Mourinho. - AFP