MILAN: Inter Milan menjaringkan dua gol pada sembilan minit sebelum tamat perlawanan untuk memastikan kemenangan 3-1 ke atas Bologna sekali gus ia adalah kemenangan pertama mereka pada musim ini di bawah kendalian jurulatih baru, Claudio Ranieri sementara juara bertahan, AC Milan tidak begitu meyakinkan selepas sekadar menang tipis 1-0 ke atas Cesena.

Diego Milito menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 dan Lucio menanduk masuk bola hasil hantaran sepakan percuma Sulley Muntari pada minit ke-87 untuk memberikan kemenangan pertama Inter selepas aksi kurang meyakinkan pada enam perlawanan terdahulu. Di sebalik kehilangan khidmat pemain perancang, Wesley Sneijder, pasukan yang memenangi tiga kejuaraan pada musim 2009/2010 di depan menerusi Giampaolo Pazzini sebelum tamat separuh masa pertama sebelum Alessandro Diamanti menyamakan kedudukan untuk Bologna menerusi sepakan penalti pada minit ke-66.


“Amat penting untuk kami melangkah keluar dari padang dengan keputusan positif kerana barisan pemain muda ini memerlukan keyakinan semula,” kata Ranieri yang juga bekas pengendali Valencia, Chelsea, Juventus dan AS Roma.


“Bagi saya tidak penting sama ada kami dapat beraksi baik atau sebaliknya. Apa yang penting adalah keputusan akhir. Pemain menunjukkan mereka benar-benar mahukan kemenangan.


“Reputasi Inter sangat tinggi. Kami akan meraih mata lagi, kembali ke saingan teratas liga dan akan turun ke padang dengan semangat juang tinggi.” Ranieri muncul jurulatih keempat Inter sejak pengunduran Jose Mourinho pada Mei tahun lalu selepas beliau dilantik menggantikan tempat Gian Piero Gasperini yang dipecat hanya selepas membimbing lima perlawanan.


Sementara itu, Clarence Seedorf, 35, menjaringkan gol tunggal ketika Milan mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Cesena yang berada di tangga tercorot selepas tewas semua empat perlawanan.



Milan kini meraih lima mata selepas empat perlawanan. - Reuters