SEBAGAI penyair saya selalu memandang sesuatu itu tidak mendasar seperti adanya. Sesuatu yang akan berlaku tentulah disebabkan sesuatu yang lain samada kita menyedarinya atau tidak. Saya percaya sesuatu itu ada puncanya yang mengakarkan apa juga peristiwa. Tanpa mengambil kira apakah peristiwa itu besar atau kecil. Peristiwa akan mendasar kepada pembinaan kemanusiaan dari pelbagai hala seperti pemikiran, cara hidup, harapan atau cita-cita, kebenaran dan pengalaman. Sesuatu peristiwa sentiasa menjanjikan kerana kehidupan sentiasa menyedarkan kita kepada hakikat tidak akan terbina sesuatu tanpa sebarang permulaan. Setiap permulaan akan menjadikan sesuatu itu lebih besar, lebih terarah kepada pembinaan keagungan. Jatuh dan bangun sebuah bangsa misalnya akan meninggalkan pengajaran meneruskan kelangsungan kehidupan. Sebuah bangsa juga tidak akan dihormati tanpa melalui peristiwa demi peristiwa yang berharga. Kematangan bangsa juga selalu didasari kemampuan kita melalui fasa-fasa pembinaan pemikiran yang besar.

Antara sedar dengan tidak, kita sebenarnya menjalani pola sejarah yang sama sebagaimana yang dilalui oleh seluruh umat manusia sejak zaman awal lagi. Sejarah yang kita lalui tidak jauh berbeza dengan sejarah masyarakat yang wujud sebelum kita. Walaupun kita telah menyaksikan perbezaan yang amat ketara dari segi peradaban dan perkembangan sejarah manusia, namun itu hanya berbentuk kebendaan semata-mata. Manusia tidak pernah berbeza sejak awal lagi dari segi penggunaan akal, buah fikiran, perasaan, nafsu, keperluan berkomunikasi, dan sebagainya. Ciri-ciri ini merupakan antara unsur yang tidak mungkin akan berubah selagi manusia masih kekal dengan unsur kemanusiaannya yang semula jadi.

Manusia mempunyai persamaan sejak zaman purba sehingga hari ini, terutama sekali dari aspek pencorakan sejarah hidup manusia. Pola yang dimaksudkan ialah pergelutan manusia dengan dirinya sendiri dalam mencari hakikat kehidupan. Manusia sentiasa dihantui oleh persoalan seperti dari mana dia datang, bagaimana dia wujud, apa matlamat hidupnya di dunia ini, ke mana dia akan pergi, dan lain-lain lagi.

Demikianlah apa yang ingin kita rasai sebagai pengamat kehidupan. Melihat cermin peribadi tak mungkin dapat menggambarkan apa-apa dengan mengabaikan perihal yang lain menerusi ketajaman sentuhan panca indera. Dalam keberadaan kita, kita merasakan ada produk yang amat berharga untuk menterjemahkan keunikan kemanusiaan ini. Di manapun kita berada, kita akan mengamati situasi, perbezaan dan persamaan bahkan hal-hal baru yang memerlukan penelaahan. Kita menterjemah dengan memindahkan setiap rasa kepada suatu kaedah yang berbeza tetapi sentiasa melahirkan pengalaman baru kepada orang lain. Persoalan kehidupan sedikit sebanyak akan mencerminkan peribadi, sikap, pemikiran dan visi tentang sesuatu yang diperkatakan. Sebagai penyair pula, kita tidak dapat membebaskan diri daripada perkara yang berlaku di sekitarnya kerana dunia penyair adalah manusia di sekitarnya. Interaksi dengan diri sendiri, alam, masyarakat dan manusia di sekeliling akan mencorakwarnakan sikap penyair dan tanggapannya terhadap persekitaran dan persoalan yang diangkatnya dalam sesebuah produk karya. Tidak terdapat batasan baginya mengungkapkan persoalan. Persoalan adalah sesuatu yang pelbagai tanpa batasan, terpulanglah kepada kekreatifan, imaginasi, bakat dan ketajaman pemerhatian serta kepekaannya untuk mengolah persoalan sama ada besar ataupun kecil termasuk apa yang ingin kita amati tentang kota dan tamadun bangsa.