Tamadun yang sama ertinya dengan perkataan Inggeris civilization lahir daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud ‘city’ atau bandar. Bandar jelas dianggap tempat dan petanda kelahiran sesebuah tamadun atau peradaban manusia. Ia sama dengan konsepsi Ibn Khaldun yang mengaitkan pertumbuhan tamadun manusia dengan kehidupan di bandar.

Namun begitu, kehidupan bandar semata-mata tidak dapat memenuhi ciri-ciri kelahiran sesebuah tamadun. Kehidupan mestilah dilengkapi oleh beberapa ciri lain, seperti wujudnya sistem pemerintahan atau tatanegara, munculnya sistem tulisan dan perundangan, wujudnya kegiatan ekonomi yang relatifnya maju dengan pengkhususan pekerjaan, serta tidak kurang penting, adanya mekanisme penguasaan sosial menerusi agama atau sistem kepercayaan. Dengan itu, kehidupan bertamadun mempunyai enam ciri asas seperti yang berikut:



v Menjalani kehidupan di bandar

v Mempunyai sistem pemerintahan atau kerajaan

v Mempunyai tulisan

v Mempunyai sistem perundangan

v Mempunyai sistem kepercayaan dan agama

v Wujudnya pengkhususan dalam pekerjaan



Dari perspektif Timur-Islam, perkataan tamadun lahir daripada perkataan akarnya mudun dan mada’in yang kemudiannya membawa kepada madinah, yang secara hurafiahnya bermaksud bandar. Mungkin juga istilah Barat modern dipinjam daripada perkataan Arah mudun. Daripada akar perkataan mudun lahirlah nama bandar Madinah yang nama asalnya Yatrib. Konsep tamadun mempunyai kaitan yang rapat dengan konsep masyarakat madani yang mulai dipopularkan penggunaannya sejak kebelakangan ini. Madani, mudun dan mada’in yang melahirkan perkataan madinah berasal daripada akar yang sama dalam konsepsinya yang paling mudah.

Penulis paling awal menggunakan istilah madani ialah Ibn Khaldun, ahli sosiologi dan sejarawan arab abad ke-14. Bagi beliau, istilah madani lahir daripada perkataan al-madaniyah yang membawa erti ‘peradaban kemakmuran hidup’. Kerana itu, tamadun bolehlah ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran dan pencapaian yang baik, halus, sopan santun bagi pembentukan peribadi, akhlak, tingkah laku serta budi bahasa yang mulia bagi individu dan juga sesuatu kelompok manusia yang membentuk sesebuah masyarakat atau negara bangsa.

Sarjana sosiologi dari Iran, Ali Sariati (1933-1977) mengemukakan teori mengenai perkembangan tamadun manusia. Menurutnya ada dua perkara berkaitan dengan peranan manusia dalam membina tamadun iaitu fenomena migrasi atau hijrah sebagai faktor utama yang membawa kepada tumbuh dan berkembangnya tamadun manusia. Kedua ialah peranan manusia dalam menempa kemajuan. Dari segi sejarah dan apa yang tersurat, hijrah ialah peristiwa perpindahan ummah Islam dari Makkah ke negeri Habsyah dan ke Kota Madinah untuk menyelamatkan diri daripada seksaan kaum musyrikin Makkah yang memusuhi Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam.

Dilihat secara lebih mendalam dan dalam erti yang tersirat, hijrah mempunyai prinsip dan falsafah sosial yang tertentu kerana hijrah telah melahirkan suatu tamadun baru yang besar. Daripada kajian Ali Shariati terhadap 27 tamadun manusia sejak zaman silam, beliau menyimpulkan bahawa tamadun lahir kerana penghijrahan manusia dari tempat asal mereka ke tempat baru. Sebaliknya, tidak terdapat sebarang tamadun yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain. Di negara kita, tamadun Melaka yang lahir dan tiba kemuncaknya pada abad ke-15 juga adalah hasil perpindahan sekelompok kecil manusia dari Sumatera ke Termasik dan akhirnya membuka Melaka sebagai sebuah negeri dan pelabuhan perdagangan. Begitu juga dengan kerajaan Melayu Champa di Vietnam, yang wujud antara awal kurun Masihi sehingga abad ke-18, ialah hasil penghijrahan rumpun Melayu dari kawasan Dunia Melayu Inti ke utara. Sejarah bertapak dan berkembangnya Islam di Afrika Selatan adalah akibat penghijrahan rumpun Melayu dari Alam Melayu ke sana mulai suku abad ke-17 sebagai hamba dan buangan politik penjajah Belanda. Pada hari ini pembinaan tamadun baru Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur ialah hasil penghijrahan beberapa kumpulan etnik dari pelbagai wilayah dan daerah ke pusat tamadun baru tersebut. Malah bagi orang Melayu, semua mereka yang meninggalkan kampung halaman untuk mencari ilmu dan bekerja di kawasan lain telah pun melakukan penghijrahan. Secara langsung mereka memberi sumbangan penting untuk membina tamadun baru Malaysia pada abad ke-20. Malah kadar migrasi orang Melayu yang begitu tinggi ke Kuala Lumpur sejak 25 tahun yang lalu telah memacu pembangunan negara yang begitu pesat dibandingkan dengan apa yang berlaku di masa-masa sebelumnya.

Prinsip kedua berhubung pembinaan tamadun dan kemajuan manusia hasil pemikiran Ali Shariati ialah pentingnya peranan manusia itu sendiri atau al-nas. Ini berdasarkan kepada ayat dari kitab suci al-Quran yang bermaksud: Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (kaum=manusia) jika mereka sendiri tidak mahu mengubah. Di dalam al-Quran, Allah sentiasa menyeru, “Wahai orang-orang yang beriman…” atau ”Wahai manusia…”. Ini bermakna bahawa MANUSIA itu sendirilah yang bertanggungjawab dan berperanan menentukan nasib hidup dan masa depan mereka; dan mereka diberi akal fikiran serta kudrat untuk berusaha mengubah serta mencorak masa depan mereka seperti yang direncanakan. MANUSIA meningkat kepada status yang lebih tinggi melalui ilmu pengetahuan serta menunjukkan dengan jelas kelebihan mereka berbanding dengan mahluk-mahluk yang lain. Mereka memiliki kebesaran dan kehormatan melalui pembelajaran, pertanyaan dan kajian, sebaliknya mereka akan kehilangan status tersebut jika mereka meninggalkannya dan mengikut jalan orang yang jahil. (Surah al-‘Alaq : 1-5). Dengan pendidikan, akan membawa manusia kepada kepatuhan dan kekuasaan, manakala kejahilan diakui akan membawa kepada kejahatan dan maruah yang rendah.

Keutamaan bagi manusia menurut al-Quran adalah pendidikan. Melalui pendidikan manusia dapat meningkatkan harga diri mereka serta mendapat bukti tentang kewujudan Allah S.W.T. Malahan mereka akan menemui kebenaran dan kenyataan seluruh alam semesta, tingkat pemikiran dan moral alam, juga nilai-nilai kuasa dan rahsia alam. Manusia juga dapat mengetahui cara bagaimana untuk mempergunakan kekayaan alam untuk kepentingan mereka. Segala rahsia alam yang tiada akhirnya dan kegunaannya akan dapat diketahui oleh manusia melalui pendidikan, pembelajaran dan penyelidikan.