-
NK Owner, Reload, Alertpay and Liberty Reseller
Kota, Tamadun dan Bangsa Sebuah Penilaian Penyair
Bagi penyair di mana-manapun di dunia ini, melihat kota sebagai sebuah lautan yang sentiasa bergelombang; kadang-kadang memandang kota sebagai sebuah hutan belantara yang subur akibat pembajaan yang sempurna; ada waktunya penyair memetik bunga rahsia kota sebagai gelanggangnya bermain kata bersama segala hal yang menjanjikan makna tersendiri sebenarnya. Kota sebagai pusat kebanyakan aktiviti meriwayatkan kelangsungan kehidupan. Degupannya sering juga menyegarkan semula yang mula tenggelam malah sebaliknya tetapi kota tidak selamanya memberi kebahagiaan yang hakiki. Tetapi pada masa yang melahirkan benih dari pengamatan, penafsiran dan juga penghayatan yang menyediakan pengalaman baru kepada penyair itu dan orang lain. Dalam wacana ringkas ini, saya ingin mengetengahkan beberapa pencernaan fikrah beberapa orang penyair Malaysia mengenai pengamatan mereka mengenai kota dan pembinaan tamadun.
Seperti membina sebuah bangunan, hanya arkitek saja yang lebih memahami struktur binaan. Demikian halnya bagi penghuni kota yang bertindak sebagai arkiteknya. Dari sajak ‘Arkitek Kota’, Muhammad Haji Salleh merakamkan:
‘hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal gelombangnya,
alur sungai serta diam batu,
perasaan musim,
fiil langit dan sabar bumi
berhak membina kota’
Beginikah seharusnya pemilik kota yang mengimpikan keberadaannya begitu mengerti agar nikmat kota itu ditemui dalam kemungkinan-kemungkinan yang digambarkan. Penghuni kota harus menghargai keindahan alam kerana merekalah pewaris bagi membina keindahan iaitu sebuah tamadun. Kata Muhammad,
pencipta kota ialah
pendekar muda dengan langkah berbagai
kelakar tua yang mengampungkan cerita
orang bercinta yang perlukan bulan.
dia pengukir ruang hidup
penghias suasana sempurna
membenarkan penemuan
memungkinkan kemungkinannya.
Keutuhan bangsa berakarkan kepada kemantapan akal dan hati budi insan. Bagi bangsa yang besar, keberanian demi menegakkan kebenaran harus harus ditunjukkan. Kota menjadi benteng tetapi kota itu merupakan peribadi sedangkan dirinya adalah sebuah bangsa yang harus terus menerus membangunkan akalnya dalam cara yang membina. Kehidupan itu harus dinikmati dengan caranya bukan dendam dan tipu muslihat. Jasni Matlani dalam ‘Sesekali Waktu Bertemu Jebat di Kota Diriku’, meletakkan keberadaban itu dengan penuh kesedaran. Katanya,
‘Ajarlah aku membuktikan kebenaran.
Ajarlah aku menikam Karmawijaya dengan
semangat keris pantun,
syair dan gurindam. Ajarlah aku menghidupkan di kalbuku rasa
keberuntungan diri dan dilahirkan pahlawan.’
Namun begitu, tidak pula disimpulkan kota sentiasa diimejkan sebagai suatu lubuk kebahagiaan semata-mata lantaran situasi yang hidup tanpa batas waktu. Kota digambarkan sebagai gua puaka yang menempiaskan warna malapetaka. Zam Ismail, dalam ‘Jalan-jalan Raya Kotaku’, mencitrakan gambaran keserakahan warga kota yang telah melenyapkan keluhuran budi mereka.
‘Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan
memacu menghimpun kekuatan
menghakis sopan santun’
Kehidupan manusia setiap hari semakin berkembang maju. Mereka terlalu sibuk dengan mencari haluan hidup sama ada berasaskan kepada prinsip individu, keluarga atau masyarakat ataupun tidak. Kebanyakannya tidak mempunyai prinsip hidup walaupun memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi kerana telah dibuai dengan kesenangan, kemewahan dan kepuasan hidup. Sebahagian yang lain pula masih mencari-cari satu pegangan hidup yang lebih berasas supaya segala masalah dapat diatasi dengan sempurna.
Perubahan demi perubahan berlaku dalam masyarakat yang dengan tidak disedari berlaku pelbagai gejala keruntuhan akhlak dan kesalahan serta jenayah. Perubahan ini menjadi satu persoalan apakah masyarakat merestui pada masa akan datang terbinanya satu tamadun baru atau tamadun materialisme yang mengetepikan amalan kemanusiaan dan nilai kerohanian atau ingin melihat wujudnya satu tamadun hedonisme Malaysia untuk dipraktikkan oleh setiap anggota masyarakat menerusi budaya barat. Namun begitu, penyair sebagai mewakili masyarakatnya menjelaskan penegasan bahawa masyarakat harus selalu diingatkan agar gejala yang berlaku itu tidak mencacatkan pembinaan sebuah tamadun yang dihormati. Abdul Rahim Tapah, dalam ‘Atas Nama Kita Sendiri’, mengingatkan bahawa ‘setiap catatan tak semestinya diisi dengan mimpi’. Rahim membarakan lagi gelombang semangatnya agar kita ‘mematahkan seruling fantasi’ yang telah meletakkan kita pada tempat yang bertambah mundur kerana terlalu dihiasi aktiviti kehidupan yang tidak membina. Katanya,
‘Lepaskan kecapi dan patahkan seruling fantasi. Kita cipta
lagu keriangan untuk zaman ini – lagu baru ciptaan kita sendiri.
Rentaknya bakal merobohkan kota-kota purba dari mimpi dan
kita abadikan ia dalam catatan sejarah atas nama kita sendiri.’
Para penyair tidak dapat tidak menyatakan pendirian sekaligus juga melontarkan pertanyaan demi pertanyaan mereka tentang peristiwa serta pengalaman masa lalu. Bagaimana tamadun bangsa dapat dipertahankan oleh masyarakat industri yang dibiasakan oleh kemewahan. Jasni Matlani dalam sebuah sajaknya ‘Ketika Mendepani Sebuah Kota’,12 menggambarkan satu suasana di mana:
‘Puing-puing bencana bergasakan
dan para sahabatku yang berlari mengharung
sejarah dan citrawara perit. Inikah zamannya rohku tertusuk
belati tajam waktu dan jasadku mabuk bergelitan
di celah-celah dinding kaca hawa nafsu
sementara kebimbangan membelit dan menjerut akaliah.
Kaukah yang terkurung di sebuah kamar hitam
sambil menyedut debu keluar dari corong hayat
iklim terus buram, kehilangan sari warna
sukma menerjang. di sana kau akan menyaksikan
pementasan hari depan menggores minda
pancaroba bertelagah dan bersengketa dengan
ijtihad Mahmudah. Ijtihad Sabililah.’
Tags for this Thread
Posting Permissions
- You may not post new threads
- You may not post replies
- You may not post attachments
- You may not edit your posts
Forum Rules