KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan kredibiliti saksi pakar DNA dari Australia, Dr Brian Leslie McDonald yang didakwa tidak mempunyai kelayakan dalam bidang itu.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata demikian ketika sesi soal balas terhadap saksi pembelaan itu di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.


Mohd Yusof mempertikaikan sijil dalam bidang DNA yang diperoleh saksi pada 1992 sudah terlalu lama selain bertanyakan kali terakhir Dr Brian menjalankan ujian DNA.


Dr Brian bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan kepakarannya hasil pengalaman dalam menjalankan penyelidikan.


Menurutnya, kali terakhir dia menjalankan kerja teknikal membabitkan DNA ialah pada 2004 dan selepas itu memandangkan jawatannya sebagai saintis kanan, kerja itu dijalankan mereka yang lebih bawah atau dilakukan robot. Menjawab soalan Mohd Yusof berhubung isu mahkamah di Australia menolak keterangan Dr Brian dalam satu kes jenayah pada 2007, dia memberitahu keterangannya bagaimanapun diterima di peringkat Mahkamah Rayuan.


Sementara itu, ketika dirujuk artikel perubatan pada 1997 yang bertajuk ‘Sexual assault and semen persistence’ iaitu kemungkinan air mani diperoleh daripada rektum individu antara empat hingga 113 jam selepas persetubuhan, Dr Brian mengatakan bersetuju dengan pendapat itu.



Bagaimanapun, kata Dr Brian, artikel berkenaan perlu diteliti terlebih dulu.


Prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung hari ini.