PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak tahu bagaimana hendak menipu rakyat apatah lagi menyeleweng fakta sejarah seperti mana yang dilakukan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada landasan benar dan jelas serta sentiasa menunaikan janji dan tanggungjawab untuk kesejahteraan rakyat serta negara.


Beliau berkata, apa yang dilaungkan pembangkang, antaranya janji semasa pilihan raya umum 2008 yang tidak ditunaikan sehingga sekarang, hanya kepentingan dan agenda politik mereka semata-mata.


“Perjuangan kita (BN) menentukan negara kita semakin maju dan rakyat semakin makmur. Dari dulu lagi kita memperjuangkan perkara ini...bukan perkara baru.


“Kita ada agenda jelas...pihak lain (pembangkang) tidak ada sesuatu yang boleh kita pegang, kepada cakap-cakap dan janjinya,” katanya pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama kira-kira 300 anggota Persatuan Bekas Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (PBAKM) di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini, semalam.


Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Penasihat PBAKM.



Najib berkata, kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat lama diperjuangkan kerajaan BN, namun ada pihak yang mengambil kesempatan memutar belitkan fakta.


“Apa yang penting, kita bekerja kuat memberi penjelasan sehingga ke peringkat akar umbi. Kita mesti membetulkan fitnah yang ditabur atau fakta yang diseleweang “Selain menjelaskan perkara ini (fitnah dan fakta yang diseleweng), kita juga perlu jelaskan Umno dan BN sebagai parti yang mendahului kelok pembaharuan. Jangan mereka (rakyat) anggap (Umno dan BN) sebagai parti lama, parti yang tiada idea baru...tiada kesegaran dalam perjuangan,” katanya.


Najib, yang juga Penaung PBAKM berkata, sekiranya pembangkang diberi kuasa memerintah Malaysia, ia boleh membawa sejarah hitam kepada negara ini.


“Nauzubillah, kalau dia (pembangkang) dapat kuasa, saya fikir dia nak rombak segala-galanya apa yang kita pertahankan, kita warisi. Nak tafsir sejarah (ikut mereka), nak tukar bendera...banyak lagi perkara karut yang mereka akan buat,” katanya.


Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan di atas komitmen yang ditunjukkan bekas anggota PBAKM selama ini dan meminta mereka membantu kerajaan menyedarkan rakyat Umno dan BN adalah parti yang sentiasa memperjuangkan rakyat.


Najib berkata, penganjuran majlis semalam di kediamannya di Seri Perdana juga adalah signifikan bagi anggota PBAKM untuk bersama membantu kerajaan mempertahankan Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya.


Beliau berkata, rakyat perlu sedar Putrajaya adalah maruah negara yang tidak boleh digadai kepada golongan yang hanya melihat kepada agenda politik semata-mata.


“Ini bukan rumah saya...ini rumah Perdana Menteri Umno dan BN. Kita mesti pertahankan Putrajaya kerana untung nasib kita dan anak-cucu bergantung kepada Umno dan BN...pihak yang lain (pembangkang) tidak boleh harap.


“Barisan Nasional sebagai pemegang tampuk pemerintahan negara kita...kita yang bangunkan Putrajaya. Tak kan kita nak biarkan kepada orang lain. Ini maruah kita...kita tidak sanggup terhina dan dihina oleh sesiapa,” katanya. - Bernama