BUENOS AIRES: Juan Martin del Potro (gambar) yakin Argentina mampu mencipta kejutan apabila turun menentang Sepanyol yang diketuai Rafael Nadal apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan akhir Piala Davis, Disember ini.
Del Potro yang menduduki ranking ke-13 dunia, memenangi kedua-dua perlawanan perseorangan untuk membantu Argentina menewaskan juara bertahan, Serbia, 3-2 di Belgrade minggu lalu sekali gus menempah tiket bertemu Sepanyol yang akan menjadi tuan rumah perlawanan akhir pada 2-4 Disember ini.
Sepanyol memenangi semua tiga pertemuan menentang Argentina sebelum ini termasuk pertembungan terakhir kedua-dua negara pada perlawanan akhir di Mar del Plata pada 2008.
“Kami sedia menewaskan lawan,” kata Del Potro mengulas pertemuan di gelanggang tanah liat itu. “Nadal raja di sana dan perlawanan pasti sukar.
“Tapi perlawanan akhir akan sentiasa berbeza dan istimewa dan kami harap berada dalam keadaan terbaik ketika kunjungan ke sana selain dapat menurunkan empat pemain terhebat.
“Sepanyol adalah pasukan pilihan tapi jika kami pergi dengan merendah diri dan tidak angkuh mungkin kami akan mendapat keputusan yang baik. Kami melakar kejutan apabila mengalahkan Serbia. Semoga kami dapat melakukannya sekali lagi.” Del Potro meraih mata kemenangan Ahad lalu apabila pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic menarik dari kerana kecederaan ketika ketinggalan 6-7 (5/7), 0-3.
David Nalbandian dan Del Potro memenangi perlawanan perseorangan ketika pemain beregu, Juan Ignacio Chela dan Juan Monaco tewas dalam perlawanan mereka.
“Acara beregu perlu diberi perhatian dan kami perlu bekerja keras untuk memperbaikinya,” kata Del Potro.
Ia adalah perlawanan akhir keempat buat Argentina yang belum pernah menjuarai kejohanan ini.
Sepanyol mendominasi kejohanan itu sejak sedekad lalu dengan muncul juara pada 2000, 2004, 2008 dan 2009 dan belum pernah tewas di gelanggang sendiri sejak 1999. - AFP


LinkBack URL
About LinkBacks

Reply With Quote